Blog Yang Menarik
:AmaLia::Ayunda:
:MeLayUdiLonDoN:
:BusTanMinDa::
http://maksudku.blogspot.com/
Apa matlamat aku bersembang? Sekadar eratkan silaturrahim, melegakan otak yang sarat dengan kerja, meluahkan perasaan dan menghuraikan masalah. Bersembang pun dapat menambahkan pengetahuan dan bertukar-tukar fikiran. Dahulu jika aku hendak bersembang dengan teman-teman, selalu aku ditegur oleh makcikku yang mengatakan bahawa aku hanya buang masa di luar.
Kini pun aku masih bersembang dengan rakan-rakan. Namun, sembang sekarang berbeza sikit. Perbezaannya terletak pada kekerapan dan ia selalunya singkat kerana ada dimasukkan dengan agenda-agenda lain seperti membeli-belah, tukar lampin anak di tandas awam, makan dan sebagainya. Kalau selalu bersembang dengan teman-teman pun nanti kena ngomel dengan suami juga kan...
Maka, sekarang aku lebih banyak bersembang dengan keluarga dan sanak-saudara. Kadang-kadang kami hanya akan makan di luar sambil berbual-bual kosong. Ini secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim. Bukannya selalu kami dapat berkumpul beramai-ramai. Kalau hendak jumpa semua pun jika ada majlis, kenduri atau pada Hari Raya.
Di tempat kerja pun aku bersembang TETAPI sambil membuat kerja. Biasalah, sekadar untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan murid, berkongsi cerita lucu di kelas, bergurau untuk hilangkan stres dan berbincang tentang kerja yang perlu dibereskan.
Namun, bersembang pun ada keburukannya. Apa tidaknya, kadang-kadang tanpa disangka-sangka kita pun secara tidak sengaja mengumpat. Bukannya kita berjumpa untuk mengumpat cuma ia berlaku semasa bertukar-tukar cerita terkini; siapa yang hendak berkahwin, siapa yang sedang mengandung...maka cerita seperti keretakan rumahtangga teman lain pun terkeluar. Cerita begitu pun ada hikmahnya. Aku pun bukan hendak menghina atau memandang rendah akan teman itu tetapi melahirkan rasa simpati atas nasibnya dan bersyukur atas kesejahteraan rumahtanggaku. Tentunya ia boleh dijadikan iktibar. Lagipun cerita begini agak sensitif. Aku tidak mahu tersalah cakap jika aku terjumpa teman tersebut nanti.
Minat bersembang ini tidak terhad pada usia, jantina dan zaman. Kanak-kanak pun bersembang. Ini dapat aku perhatikan di kantin sekolah. Apa yang disembangkan pun aku tidak pasti. Yang jelas padaku, keseronokkan dan kegembiraan yang kelihatan di wajah mereka dan sesekali kedengaran hilai tawa mereka. Remaja pun gemar bersembang. Betul kan? Apa yang mereka bincangkan? Itu haruslah tanya mereka. Mereka mungkin berkongsi gosip hiburan, berita tentang siapa yang berpacaran, guru yang dibenci dan pelajar yang tercantik / terkacak yang jadi kegilaan.
Yang lebih berumur pun suka bersembang. Aku sering terlihat pakcik-pakcik dan abang-abang di kedai makan seperti di Haig Road yang duduk hingga jauh-jauh malam untuk bersembang dengan rakan sebaya dan ada yang bermain dam. Kalau tidak silap, dulu pun ada ramai yang bersembang sambil main burung.
Makcik-makcik pun apa kurangnya. Di bawah blok aku pun aku dapat lihat kakak-kakak yang asyik bersembang setiap hari sambil mereka menunggu anak pulang dari sekolah atau bermain-main di taman permainan. Ada yang bersembang seperti itu sahaja yang mereka buat. Apa tidaknya, aku pergi bekerja aku nampak mereka. Aku pulang pun mereka ada. Hmmm..kadang kala aku menjadi musykil memikirkan bagaimana mereka ada begitu banyak masa sedangkan aku seperti sentiasa mengejar masa. Ingin saja aku katakan, "Kak, daripada bersembang, datanglah ke rumah saya dan tolong saya mengemas...saya balik saja dah tak larat. Ini belum lagi sambung kerja yang tidak selesai." Hahaha.
Berbalik pada topik, aku rasa yang bersembang ada faedahnya asalkan kita tidak lupakan kerja yang lain dan tidak menjatuhkan maruah orang lain dengan mereka-reka cerita atau menfitnah.
sekadar tinta mindaku...9:43 PM