Blog Yang Menarik
:AmaLia::Ayunda:
:MeLayUdiLonDoN:
:BusTanMinDa::
http://maksudku.blogspot.com/
Apa matlamat aku bersembang? Sekadar eratkan silaturrahim, melegakan otak yang sarat dengan kerja, meluahkan perasaan dan menghuraikan masalah. Bersembang pun dapat menambahkan pengetahuan dan bertukar-tukar fikiran. Dahulu jika aku hendak bersembang dengan teman-teman, selalu aku ditegur oleh makcikku yang mengatakan bahawa aku hanya buang masa di luar.
Kini pun aku masih bersembang dengan rakan-rakan. Namun, sembang sekarang berbeza sikit. Perbezaannya terletak pada kekerapan dan ia selalunya singkat kerana ada dimasukkan dengan agenda-agenda lain seperti membeli-belah, tukar lampin anak di tandas awam, makan dan sebagainya. Kalau selalu bersembang dengan teman-teman pun nanti kena ngomel dengan suami juga kan...
Maka, sekarang aku lebih banyak bersembang dengan keluarga dan sanak-saudara. Kadang-kadang kami hanya akan makan di luar sambil berbual-bual kosong. Ini secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim. Bukannya selalu kami dapat berkumpul beramai-ramai. Kalau hendak jumpa semua pun jika ada majlis, kenduri atau pada Hari Raya.
Di tempat kerja pun aku bersembang TETAPI sambil membuat kerja. Biasalah, sekadar untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan murid, berkongsi cerita lucu di kelas, bergurau untuk hilangkan stres dan berbincang tentang kerja yang perlu dibereskan.
Namun, bersembang pun ada keburukannya. Apa tidaknya, kadang-kadang tanpa disangka-sangka kita pun secara tidak sengaja mengumpat. Bukannya kita berjumpa untuk mengumpat cuma ia berlaku semasa bertukar-tukar cerita terkini; siapa yang hendak berkahwin, siapa yang sedang mengandung...maka cerita seperti keretakan rumahtangga teman lain pun terkeluar. Cerita begitu pun ada hikmahnya. Aku pun bukan hendak menghina atau memandang rendah akan teman itu tetapi melahirkan rasa simpati atas nasibnya dan bersyukur atas kesejahteraan rumahtanggaku. Tentunya ia boleh dijadikan iktibar. Lagipun cerita begini agak sensitif. Aku tidak mahu tersalah cakap jika aku terjumpa teman tersebut nanti.
Minat bersembang ini tidak terhad pada usia, jantina dan zaman. Kanak-kanak pun bersembang. Ini dapat aku perhatikan di kantin sekolah. Apa yang disembangkan pun aku tidak pasti. Yang jelas padaku, keseronokkan dan kegembiraan yang kelihatan di wajah mereka dan sesekali kedengaran hilai tawa mereka. Remaja pun gemar bersembang. Betul kan? Apa yang mereka bincangkan? Itu haruslah tanya mereka. Mereka mungkin berkongsi gosip hiburan, berita tentang siapa yang berpacaran, guru yang dibenci dan pelajar yang tercantik / terkacak yang jadi kegilaan.
Yang lebih berumur pun suka bersembang. Aku sering terlihat pakcik-pakcik dan abang-abang di kedai makan seperti di Haig Road yang duduk hingga jauh-jauh malam untuk bersembang dengan rakan sebaya dan ada yang bermain dam. Kalau tidak silap, dulu pun ada ramai yang bersembang sambil main burung.
Makcik-makcik pun apa kurangnya. Di bawah blok aku pun aku dapat lihat kakak-kakak yang asyik bersembang setiap hari sambil mereka menunggu anak pulang dari sekolah atau bermain-main di taman permainan. Ada yang bersembang seperti itu sahaja yang mereka buat. Apa tidaknya, aku pergi bekerja aku nampak mereka. Aku pulang pun mereka ada. Hmmm..kadang kala aku menjadi musykil memikirkan bagaimana mereka ada begitu banyak masa sedangkan aku seperti sentiasa mengejar masa. Ingin saja aku katakan, "Kak, daripada bersembang, datanglah ke rumah saya dan tolong saya mengemas...saya balik saja dah tak larat. Ini belum lagi sambung kerja yang tidak selesai." Hahaha.
Berbalik pada topik, aku rasa yang bersembang ada faedahnya asalkan kita tidak lupakan kerja yang lain dan tidak menjatuhkan maruah orang lain dengan mereka-reka cerita atau menfitnah.
sekadar tinta mindaku...9:43 PM
(0) Berikan Pendapat
sekadar tinta mindaku...2:24 AM
(0) Berikan Pendapat
Berita mengenai seks dan alam siber telah dicetak dalam akhbar minggu lepas. Artikel itu telah menyiarkan tentang keberanian orang-orang Melayu yang menayangkan aksi seks mereka untuk dikongsi dengan dunia. Hatiku berkata, "Maju juga eh orang-orang kita." Walaupun perbuatan mereka salah dan amat memalukan, ia juga menunjukkan bahawa masyarakat kita tidak ketinggalan zaman. Aku bukannya menghalalkan yang haram. Aku hanya ingin melihat ia dari perspektif yang lain. Namun, sayang seribu kali sayang, kemajuan yang ada itu disalahgunakan.
Dahulu aku hanya dengar tentang ini semua dikongsi melalui kaedah Bluetooth di telefon bimbit. Aku juga pernah ditunjukkan klip yang memaparkan pelajar-pelajar di tangga atau remaja yang bermalam di hotel. Sememangnya ada yang mengambil klip mereka sekadar untuk suka-suka sahaja dan bukan tontonan orang ramai tetapi terkejut apabila klip itu muncul di telefon bimbit lain atau di internet. Memang sukar untuk menyembunyikan rahsia sekarang. Apabila ini sudah berlaku, mereka yang secara tidak sengaja menjadi 'pelakon lucah' menjadi malu bahkan mereka juga menconteng arang di muka ahli keluarga mereka. Apa boleh buat jika nasi sudah menjadi bubur. Terpaksalah mereka tebalkan muka dan tanggung semuanya; berani buat berani tanggung.
sekadar tinta mindaku...12:01 AM
(1) Berikan Pendapat
Semua ini berubah apabila aku tiba di darjah 6. Aku mendapat seorang guru yang garang dan cerewet, Cikgu Ahmad Sharom. Jika diingat kembali, beliau tidaklah seberapa garang yang ku fikirkan dahulu. Beliaulah yang mula mencelikkan mataku tenatang tahap bahasa Melayuku yang sememangnya layu. Aku mula menunjukkan minat. Inilah permulaan aku mengenali jati diriku sebagai orang Melayu. Inilah bibit-bibit perkenalan dan persahabatan aku dengan bahasa Melayu.
Semasa aku di sekolah menengah pula, aku mula bercinta dengan bahasa Melayu. Kini aku sedari keindahan bahasa Melayu. Di sini aku mula berjinak-jinak dengan cerpen dan puisi. Aku telah disuruh menulis karangan mengenai sebuah lagu ataupun bertajukkan lagu tersebut. Tanpaku duga, menulis cerpen menyeronokkan. (Karanganku masa itu mendapat markah yang tinggi. Jarang benar aku dapat markah begitu.) Untuk membaiki penulisan, aku semakin kerap berdamping dengan buku cerita Melayu, hendak cari ilham katakan. ;o) Semenjak hari itu juga, aku menyimpan sebuah buku untuk memuatkan tukilan-tukilan frasa yang menarik yang aku terbaca. Buku itu juga aku gunakan untuk mengumpul sajak-sajak yang aku baca dan tulis.
Cintaku yang mula berputik menjadi semakin mendalam semasa aku meneruskan pelajaran di maktab rendah. Aku mula beralih arah dari kekasih lamaku, Sains kepada Sastera. Oleh kerana aku memilih Sastera, Sains aku tinggalkan terus walaupun aku dari aliran Sains di sekolah menengah. Kisah cintaku ini juga melalui banyak rintangan. Pilihanku untuk mengambil Sastera membuatku turut mengambil subjek-subjek yang aku tidak minat langsung, Ekonomi dan Perakaunan. Akibatnya, aku terpaksa terpaksa menduduki Peperiksaan Peringkat 'A' (GCE A) sebanyak 3 kali. Setiap kali aku menduduki peperiksaan itu, hanya bahasa Melayu yang menjadi tunggak kekuatanku. Kisah cinta mana yang tiada rintangan.
Cintaku pada bahasa Melayu terus menebal dan aku masih lagi memperjuangkan bahasa Ibundaku. Aku amat berterima kasih kepada guru-guru yang bertanggungjawab dalam kisah cintaku, terumatama sekali Cikgu Ali Hanafiah. Beliaulah yang sering menggalakkanku menulis dan berkarya. Beliau jugalah yang menjadi obor yang membakar semangatku untuk menduduki GCE A kali yang ke-3. Terima kasih guru-guru semua. Perjuangan kalian akan aku teruskan. Semoga bahasa Melayu akan terus bersemarak mengikut arus masa dan kekal relevan.
sekadar tinta mindaku...2:56 AM
(0) Berikan Pendapat
Hmm.. setiap kali aku menonton dikir barat, teringat pula zaman persekolahan apabila aku mula berjinak-jinak dengan dikir barat tetapi setakat untuk persembahan di sekolah. Bapaku tidak begitu suka aku bergiat dalam bidang seni tidak kira tarian atau lakonan. Kalau sudah ada darah seni memang susah sikit untuk aku terus jauhkan diri dari seni. Iyalah ibuku dahulu seorang penari dan arwah datuk dari sebelah ibu dulu pelakon. Siapa? Shh.. rahsia. Aku cuma boleh katakan yang dia sering menjadi watak jahat. Kalau ikutkan kehendakku, memang lama aku sudah terlibat dengan Sriwana (Bapa tidak benarkan) seperti sepupuku.
Berbalik pada dikir barat, aku dapati Kelana Purba (KP)masih lagi berjuang tetapi tertanya-tanya juga mana perginya Sri Teruna Jaya (STJ) yang dahulu tidak kurang hebatnya. Dengar-dengar dahulu kumpulan-kumpulan ini seperti bermusuh tetapi aku sendiri tidak pasti. Teringat masa aku di sekolah menengah. Sekolahku rupanya ada 2 kumpulan dikir barat; masing-masing dibimbing oleh KP dan STJ. Jarangkan satu sekolah 2 kumpulan. Bahkan sebuah pertandingan pernah berlangsung untuk menunjukkan kehandalan pembimbing dan anak didik mereka. Pertandingan itu seperti Mega Perdana kecil. Hahaha..Apa yang pasti dikir barat akan terus berkembang di sini.
Eh, teringat pula boria. Mana perginya nyanyian boria? Aku sendiri tidak pasti adakah generasi baru kenal boria. Seorang temanku pula asyik bertanya lagu boria. Aku cuma nyanyikan sedikit bahagian permulaan. Itu pun aku ingat-ingat lupa. Mengapa dikir barat masih wujud tetapi boria seperti ditelan zaman? Aku rasa ia mungkin disebabkan boria kurang menarik atau lebih senang dikatakan 'kental'. Apa pendapat kamu?
sekadar tinta mindaku...4:35 PM
(0) Berikan Pendapat
Ini yang selalu aku terfikirkan apabila para pelajarku tidak membaca, memiliki atau meminjam buku cerita Melayu. Setiap tahun aku dapat lihat yang para pelajar sukar untuk ada buku cerita Melayu. Yang tidak berkemampuan tidak perlu cakaplah kerana yang pasti wang yang mereka ada harus diperuntukkan keperluan asas.
Alasan yang aku sering kali terima selalu mengecewakan. Kalau sudah darjah 4 hingga 6, aku harapkan mereka dapat pinjam buku diperpustakaan sendiri. Namun, nampak gayanya yang mereka lagi kerap ke pusat beli-belah yang berdekatan berbanding perpustakaan yang di sebelah pusat beli-belah itu. Alasan mereka daripada mereka selalunya ibu bapa tidak benarkan ke perpustakaan awam. Tetapi apabila disuruh ke perpustakaan sekolah, pun mereka tidak akan sampai. Kalau ini, alasannya, buku tidak ada.
Itu karenah yang darjah 4 hingga 6. Yang darjah 1 hingga 3, alasannya emak tidak ada duit, emak tidak benarkan beli buku, emak kata tidak perlu... semua emak kata. Adakah alasan emak-emak mereka ni benar? Jika yang benar-benar tidak mampu, aku hanya mahukan mereka pinjam di perpustakaan. Bagi yang mampu tetapi tidak mahu beli, mereka masih boleh pinjam dari sana tetapi... kenapa tidak? Jika anak itu boleh diberikan pakaian yang berjenama, selalu diajak ke restoran makanan segera, dibelikan buku-buku lain, ibu bapa sendiri ada telefon bimbit yang terbaru... mengapa mereka tidak boleh beli buku cerita Melayu? Mahal sangatkah harganya?
Mungkin pelajar sendiri yang tidak suka baca buku cerita Melayu. Buku cerita Melayu selalu dianggap membosankan. Manalah mereka tahu bosan kalau hendak pegang dan pinjam pun susah. Buku-buku Melayu pun ada gambar-gambar yang cantik, cerita-cerita menarik.
Kalau pelajar suka buku seperti Nancy Drew dan Hardy Boys, buku-buku itu pun sudah diterjemah atau disadur. Cerita Harry Potter dalam bahasa Melayu pun ada seperti yang diberitahu kawanku. Yang penting di sini ialah pelajar harus cuba berjinak-jinak dengan buku-buku cerita Melayu. Sebagai ibu bapa dan guru, tanggungjawab kita adalah untuk menggalakkan mereka membaca. Tetapi jika ibu bapa sendiri memberikan pandangan yang negatif tentang buku cerita Melayu maka si anak akan menuruti perspektif itu.
Oleh kerana mereka tidak boleh pinjam atau beli sendiri, maka aku terpaksalah pinjamkan untuk pelajarku. Itu pun ada sahaja alasan untuk tidak membaca.
sekadar tinta mindaku...2:41 PM
(0) Berikan Pendapat
Ini mengingatkan aku satu ketika dahulu semasa bersembang-sembang di IRC, aku telah menggunakan 'pinang' untuk memberikan maksud lamar. Adalah pula seseorang yang mengkritikku dengan mengatakan bahawa aku tidak tahu Bahasa Melayu. Sememangnya masa itu aku pun bukannya mahir sangat (sekarang pun tidak). Dia mengatakan bahawa perkataannya ialah 'minang' kerana kalau ada imbuhan ia menjadi 'meminang'. Hmm..kalau begitu, kata dasar bagi 'memandu' adalah 'mandu' dan 'masang' bagi 'memasang'. Betul? :o)
sekadar tinta mindaku...3:26 PM
(3) Berikan Pendapat
Aku rasa tidak perlu bagiku untuk muatkan lirik-lirik mereka kerana aku pasti ramai yang hafal. Jangan kata yang dewasa, kanak-kanak juga ramai yang hafal terutama sekali lagu Angguk-Angguk Geleng-Geleng. Aku sendiri pernah dengar anakku nyanyikan sebahagian dari lagu itu dengan pelat. Aku hanya tersenyum mendengar versinya:-
angguk-angguk geyeng-geyeng
iya-iya saya-saya
kiri kanan ikut saja
Itu saja yang dia tahu dan yang pasti dia tidak dapat memahami apa yang tersurat dalam lagu tersebut. Ahli Fiqir telah memberi kesegaran pada lagu Melayu yang kebanyakannya lebih bersifat cengeng dan bertemakan cinta. Memang ada banyak lagu yang menggunakan bahasa yang indah-indah belaka namun tidak banyak yang lari dari tema cinta. Syabas Ahli Fiqir! Semoga terus berjaya di persada seni.
sekadar tinta mindaku...1:36 AM
(0) Berikan Pendapat
Cakap tentang mengajar Bahasa Melayu, aku dapati bahawa terdapat banyak ibu bapa yang berpendidikan memberikan lebih penekanan pada Bahasa Inggeris sehinggakan anak-anak mereka lemah dalam Bahasa Melayu. Bayangkan seorang murid Melayu yang lulus semua subjek kecuali Bahasa Melayu. Jika ditanya, selalu yang menjadi alasan ialah tidak faham, susah, ada kelas tambahan untuk subjek-subjek lain dan macam-macam lagi. Ada pula yang jarang gunakan Bahasa Melayu di rumah sehinggakan ada menjadi tidak fasih. Tidak percaya? Cubalah lihat mereka yang diwawancara secara rambang di tempat-tempat awam. Lagi muda usia mereka lagilah kekok gunakan bahasa ibunda. Eh, ini tidak bermaksud aku mahir. Cuma sekadar melihat betapa ketaranya kelemahan orang-orang kita berbahasa Melayu. Salah siapa eh?
sekadar tinta mindaku...10:50 PM
(0) Berikan Pendapat
Walaupun begitu, aku rasa generasi sekarang sudah seakan-akan lupa dengan keindahan serta penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Aku juga pernah dengar para pelajarku yang berpendapat bahawa Bahasa Melayu tidak begitu penting dan tidak perlu dipelajari (sehinggalah mereka gagal ujian). Mata pelajaran Bahasa Melayu pula dianggap tidak menarik. Aku sendiri menghadapi pelajar yang bercakap Bahasa Melayu dengan struktur ayat yang tunggang-langgang. Ada pula pelajar yang setiap kali aku sebutkan perkataan, dia akan bertanya, "Apa tu?" Terpaksalah aku terangkan dalam Bahasa Inggeris.
Kadang-kadang terfikir juga masa aku dahulu situasinya berbeza. Bahasa Inggeris merupakan cabaran besar tapi Bahasa Melayu tidak begitu banyak masalah. Hmm.. mungkin ini dinamakan perubahan zaman.
sekadar tinta mindaku...11:45 AM
(0) Berikan Pendapat